Ilham menulis Pada Suatu Hari ini saya kira bonus daripada Tuhan.
Dia temukan saya dengan sekalian insan untuk saya berkongsi ilmu dan didikan. Sepanjang perjalanan kehidupan saya, saya temui ramai orang dengan kisah yang tersendiri. Memandangkan diri saya sendiri pernah diuji dengan ujian yang besar, kisah-kisah ini membuka mata saya bahawa bukan hidup saya seorang yang terasa sukar, bahkan ada orang lain yang lebih berat ujiannya berbanding saya. Tetapi bezanya, mereka mendepani ujian itu dengan cara tersendiri dan memilih untuk melihat dari sudut positif. Ini memberi ilham kepada saya untuk mengumpulkan kisah mereka dan menggarapnya semula dengan olahan tersendiri. Naskhah ini saya garap agar kita sama-sama berkongsi manfaat daripada pertemuan demi pertemuan yang Allah aturkan.
Semoga bermanfaat buat semua yang sudi membacanya, dan semoga ia mampu memberi impak kepada kehidupan anda, walau sedikit cuma.