Bekalan elektrik yang terputus hingga beberapa hari membuatkan sekalian warga Kampung Parit Ketumbit resah gelisah. Begitu juga dengan Pak Dolloh yang turut risau kerana perasmian dewan baharu hanya tinggal beberapa hari lagi. Dalam kegelapan malam, banyak pula masalah yang timbul. Cikgu Saman yang ditugaskan menjaga barang-barang di dewan telah diganggu oleh sesuatu yang sangat menakutkan. Jidin Jambul pula nyaris kemalangan, manakala Wak Ketot pula nampaknya tidak senang duduk apabila benda penting di
rumahnya turut hilang. Di sekolah, berlaku juga kecurian. Perkara-perkara misteri yang tidak ketahuan punca ini menyebabkan Indra dan rakan-rakannya turut pening kepala. Nampaknya, mereka terpaksa berbuat sesuatu. Ya, mereka perlu menyiasat! Maka bermulalah siri penyiasatan tiga sekawan yang sangat mencabar dan penuh dengan kejutan sehingga hampir-hampir membuatkan jantung mereka luruh.
Dapatkah Indra dan kawan-kawannya menyelesaikan segala masalah yang melanda kampung mereka dalam keadaan bergelap? Dan, sempatkah Pak Dolloh dan sekalian penduduk kampung membuat persiapan sebelum majlis perasmian dewan
mereka?
Sedangkan…mereka tidak mempunyai banyak masa.
Mengisahkan kanak-kanak berusia 11 tahun bernama Indra yang suka menyiasat misteri-misteri yang berlaku di kampungnya. Bersama-sama teman karibnya iaitu Kuppan (berbangsa India) dan Cha (berbangsa Cina), mereka sentiasa ada rancangan untuk merungkai sesebuah misteri walaupun kadangkala rancangan itu tidak masuk akal dan kerap menyusahkan penduduk kampung. Antara watak utama lain dalam kisah ini adalah Jidin Jambul, Wak Ketot, Marpunah, dan lain-lain lagi. Kisah-kisah dalam siri ini bergenre humor adventurous.